Konsep Pengurusan Zakat

 Assalamualaikum. In sya Allah hari ini kita berkongsi dan mempelajari tentang Konsep Pengurusan Zakat bagi tingkatan 3.


Apakah yang dimaksudkan dengan zakat ?

Anak-anak pelajar,

Zakat merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

Maka zakat pada syarak adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

Apakah hukum zakat ? Apakah dalilnya ?


Anak-anak yang dikasihi,

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Zakat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat. 

Berikut adalah syarat wajib zakat :

  1. Islam 
  2. Merdeka; Bebas daripada cengkaman penghambaan
  3. Milikan sempurna ; Pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah jelas di mana tiada orang lain yang berhak ke atasnya melainkan dirinya sendiri.
  4. Cukup nisab ; yakni paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat.
  5. Cukup haul ; telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari.
  6. Berkembang(nama');  Sifat berkembang harta adalah sifat yang memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya.

Siapakah asnaf atau golongan yang layak terima zakat ?


Asnaf tersebut seperti mana yang dijelaskan dalam surah At-Taubah ayat 60. 

 إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْعَٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ 

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

Anak-anak, mari kita fahami dengan jelas berkaitan asnaf yang layak menerima zakat ini.

1. Fakir 
Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.
Contohnya seseorang yang memerlukan RM10 sehari, tetapi dia hanya mampu memperolehi RM3 sahaja.

2. Miskin
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

Contohnya seseorang yang memerlukan RM10 sehari tetapi dia hanya memperolehi RM8 sahaja.

3.Hamba
Seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.

4. Fisabilillah
Mana-mana orang atau pihak yamg melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

5. Amil
Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya. 

6. Muallaf
Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya).
Jadi muallaf ini ada 2 bahagian : 

       a) Beragama Islam
  • Baru memeluk agama Islam
  • Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.
  • Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang- orang di bawah pimpinannya.
  • Orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh.
      b) Bukan beragama Islam
  • Boleh dipujuk supaya masuk Islam.
  • Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam.

7. Orang yang berhutang
orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungannya atau kepentingan masyarakat dan tiada keupayaan untuk membayarnya.

Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:
  • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
  • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
  • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

8. Ibnu Sabil
Ibnu Sabil ialah orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum Syarak dengan syarat:
  • Putus bekalan dalam perjalanannya.
  • Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan.
  • Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan.
  • Ditinggalkan dalam perjalanan.

Nyatakan hikmah pensyariatan zakat ?