Soal Jawab & Hukum Berkaitan Adab Terhadap Orang Sakit


  1. Benarkah malaikat akan mengaminkan doa yang dibacakan kepada orang yang sakit?


Terdapat hadith berkaitan malaikat akan mengaminkan doa yang dibacakan kepada orang yang sakit. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith:


Daripada Ummu Salamah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيضَ، أَوِ الْمَيِّتَ، فَقُولُوا خَيْرًا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

Maksudnya: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” [Riwayat Muslim (919)]

Imam al-Nawawi (676 H) ketika mensyarahkan hadith mengatakan bahawa padanya (pada hadith ini) menunjukkan sunat mengucapkan perkara yang baik ketika menziarahi orang yang sakit seperti berdoa kepadanya (kepada orang sakit), beristighfar kepadanya, meminta kelembutan dan keringanan kepadanya serta yang seumpama dengannya. Selain itu juga, malaikat akan hadir pada waktu tersebut dan akan mengaminkan ucapan-ucapan mereka. 


2.Apakah hukum menziarahi rakan non Muslim yang sakit ?




Banyak hadis yang menyebut anjuran serta kelebihan menziarahi orang yang sakit. Antaranya:
Daripada Abu Musa al-Asy'ari R.A, Nabi SAW bersabda:

أَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ وَفُكُّوا الْعَانِيَ

Maksudnya: "Berilah makan kepada orang yang lapar, jenguklah orang yang sakit, dan bebaskan tawanan."

                                                                                                            Riwayat Al-Bukhari (5373)

Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِى خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksudnya: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia berada dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang."

                                                                                                                Riwayat Muslim (6717)

Berdasarkan kepada nas-nas di atas, dapat disimpulkan bahawa ziarah orang sakit adalah digalakkan kepada semua orang sama ada yang Islam atau tidak.

Nabi Menziarahi Orang Yahudi yang Sakit

Dalam sebuah hadis daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ". فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: "Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam". Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW". Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”

                                                                                                        Riwayat al-Bukhari (1356)

Nas hadis ini dengan jelas menunjukkan, menziarahi orang sakit bukan Islam adalah dibolehkan.