HIMPUNAN SOALAN KBAT BERKAITAN ADAB BERMUSAFIR

 In sya Allah Ustazah kongsikan contoh-contoh soalan KBAT dan jawapannya serta beberapa soal jawab dan hukum berkaitan ADAB BERMUSAFIR - Pendidikan Islam Tingkatan 3.


Solat tidak boleh diabaikan walaupun bermusafir.

 Berikan pendapat anda berdasarkan pernyataan di atas.

Contoh jawapan :

Tidak ada alasan bagi orang bermusafir untuk meninggalkan solat (I) kerana Allah telah memberi rukhsah kepada orang bermusafir untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar.(H) Rukhsah ini jelas menunjukkan bahawa Allah amat kasih kepada hamba-Nya.(HL) Oleh itu, kita hendaklah menjaga adab ketika bermusafir terutama tentang ibadah solat agar hidup diberkati Allah SWT.(K) 



Mengapakah digalakkan melantik ketua ketika bermusafir?

Sebab-sebab digalakkan melantik ketua ketika bermusafir:

  • Supaya perjalanan menjadi mudah dan lancar.
  • Supaya ketua yang dilantik dapat menyelesaikan masalah yang berlaku.
  • Supaya sentiasa berdisiplin dalam semua perkara yang dilakukan.
  • Supaya terhindar daripada melakukan maksiat dan kejahatan

Contoh jawapan :

Sebab digalakkan melantik ketua ketika bermusafir supaya perjalanan menjadi mudah dan lancar (I) kerana ketua yang dilantik dapat menyelesaikan masalah yang berlaku (H). Ini dapat mengelak dari berlaku perbalahan antara ahli yang bermusafir bersama (HL). Kesimpulannya, melantik ketua ketika bermusafir akan melancarkan perjalanan dan mengelak perbalahan yang akan menyukarkan perjalanan (K)



Aktiviti bermusafir akan merapatkan hubungan hamba dengan penciptanya dan dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

 Berikan pendapat anda untuk menyokong pernyataan di atas.

Contoh jawapan :

Orang yang bermusafir boleh menambahkan ilmu dan pengalaman (I) kerana melalui tempat dan suasanaa yang pelbagai (H). Dengan demikian dia dapat melihat kehebatan dan keagungan Allah melalui ciptaan-Nya (HL). Oleh itu, umat Islam digalakkan bermusafir untuk melihat keagungan Allah, menginsafi kelemahan diri dan meningkatkan ketakwaan kerana ia boleh merapatkan hubungan dengan Allah SWT (K).


 Zafri mengetuai pasukan bola sepak sering bermusafir untuk mengadakan perlawanan di tempat yang jauh. Ketika bermusafir beliau sentiasa mengingatkan ahli pasukannya agar tidak mengabaikan solat.

 Berikan pendapat anda terhadap sikap yang ditunjukkan oleh Zafri.

Contoh jawapan :

Zafri adalah seorang ketua yang bertanggungjawab (I) kerana mengingatkan ahli pasukannya sentiasa mengingati Allah (H). Segala amalan yang dilakukan akan diberkati sekiranya tidak mengabaikan perintah Allah (HL). Oleh itu ibadah solat wajib dilaksanakan walau sejauh mana perjalanan kita (K).



 Orang yang suka bermusafir dapat meluaskan pandangan serta meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

 Berikan hujah anda untuk menyokong pernyataan di atas.

Contoh jawapan :

Bermusafir ke pelbagai tempat akan menambah ilmu dan pengalaman (I) kerana dapat melihat keagungan Allah di bumi ini melalui perjalanan yang jauh (H). Orang yang bertadabbur dengan ciptaan allah akan memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah (HL). Oleh itu, kita digalakkan bermusafir untuk menambah ilmu dan pengalaman di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT (K).



 Umar menaiki bas dari Perlis ke Pahang untuk menziarahi ibunya.

 Nyatakan apakah yang perlu dilakukan oleh Umar supaya tidak mengabaikan kewajipan menunaikan solat.

Contoh jawapan :

Umar boleh melakukan rukhsah solat ketika bermusafir, iaitu melakukan solat secara jamak dan qasar (I) supaya kewajipan menunaikan solat dapat dilaksanakan (H). Hal ini kerana walaupun seseorang itu bermusafir kefarduan solat tidak gugur daripadanya (HL). Oleh itu, kita hendaklah menjaga adab bermusafir dengan tidak mengabaikan kewajipan solat kerana ia akan mengundang dosa dan kemurkaan Allah (K).


Antara hikmah menjaga adab bermusafir ialah terpelihara daripada godaan dan tipu daya syaitan. 

Huraikan hujah anda untuk menyokong pernyataan di atas.

Contoh jawapan :

Sentiasa mengingati Allah ketika bermusafir seperti berzikir dan membaca al-Quran (I)  membolehkan kita mendapat peliharaan allah sepanjang bermusafir (H). Hal ini kerana mereka yang lalai tidak menjaga adab ketika bermusafir akan memudahkan dirinya mendapat gangguan syaitan (HL). Oleh itu, kita hendaklah berdoa dan solat sunat musafir sebelum memulakan perjalanan jauh agar segala urusan dipermudahkan Allah (K).


  

 

Pada pendapat anda, apakah nikmat yang perlu disyukuri ketika bermusafir ?

Contoh jawapan :

Orang yang memahami hikmah permusafiran semestinya akan memikirkan rezeki dalam bentuk  kewangan yang dikurniakan oleh Allah SWT (I). Setiap rezeki seperti membeli tiket kapal terbang, tempahan hotel dan bekalan permusafiran itu telah ditentukan (H). Sebagai contoh, aadakalanya kita tidak cukup wang ketika hendak bermusafir, tetapi beberapa hari sebelum bertolak pelbagai rezeki yang diperolehi (HL). Oleh itu, kita hendaklah berniat bermusafir kerana Allah dan bukan untuk melakukan perkara yang sia-sia agar diberkati dan rezeki tidak berkurangan (K).